Porsche Bakal Bangunkan Kilang Pemasangan Kenderaan Di Kulim


Syarikat pengeluar kenderaan sports mewah Jerman, Porsche AG diberitakan akan membuka sebuah kilang pemasangan kenderaan bertempat di Kulim, Kedah, pertama seumpamanya yang dibuka di luar negara asal.


Menurut laporan daripada The Edge, Porsche akan bekerjasama dengan Inokom Corporation Sdn Bhd, sebuah subsidiari di bawah Sime Darby Motors Sdn Bhd.

Memetik sumber yang arif dengan isu tersebut, "terdapat beberapa pelaburan besar yang masuk ke dalam sektor automotif Malaysia, namun pihak kerajaan masih lagi belum mahu mengisytiharkan perkara tersebut disebabkan wabak pandemik dan Perintah Kawalan Pergerakan.

"Pengumuman tersebut perlu dibuat bersama, mereka merupakan nama besar di dalam industri, dan kerajaan tidak seharusnya membuat sidang media dan mengumumkan pelaburan tersebut bersendirian," ujar sumber itu.

Menurut satu lagi sumber, Porscshe akan menjadikan Malaysia sebagai hab rantau Asean, di mana insentif untuk pelaburan besar tersebut telah pun diluluskan oleh Kementerian Kewangan.

Sehubungan dengan itu, Inokom akan membangunkan sebuah kilang baharu yang khusus untuk Porsche di Kulim, tambah sumber itu lagi.

Ketika ditanya berkenaan hal spekulasi tersebut, wakil Porsche Christian Weiss menjelaskan, "Asean merupakan sebuah rantau yang mempunyai masa depan yang cerah serta potensi yang hebat, kami akan berterusan meneroka pilihan yang ada untuk pertumbuhan selanjutnya di pasaran ini.

Sementara itu, wakil Sime Darby Motors menjelaskan mereka menyambut baik mana-mana pihak yang mahu menjalinkan kerjasama yang mampu menambah nilai terhadap pelan perniagaan strategik.

Jika benar, berita ini bakal menjadi satu pendorong yang diperlukan untuk menaikkan reputasi Malaysia sebagai destinasi pilihan untuk sektor automotif di rantau ini.

Tatkala negara jiran seperti Thailand dan Indonesia sudah pun memacu jauh ke depan, Malaysia dilihat masih lagi belum memutuskan langkah dan polisi yang perlu diambil di dalam kenderaan elektrik (EV).

Menurut pemain industri, pengumuman insentif di dalam industri automotif yang ditawarkan oleh kedua-dua negara itu adalah amat jelas untuk menarik minat pelabur.

Di dalam perlumbaan memperkasakan industri kenderaan elektrik, Malaysia tidak seharusnya ketinggalan di belakang negara-negara jiran, apatah lagi Dasar Automotif Negara 2020 yang dibentangkan sebelum ini tidak menyebut secara spesifik EV sebagai salah satu sektor yang penting.

Sebaliknya, EV diletakkan sekali bersama-sama kenderaan cekap tenaga (EEV) sebagai hibrid dan kenderaan tenaga baharu dibawah kategori Kenderaan Generasi Berikutnya (NxGV).

Selain daripada itu, keputusan kerajaan untuk tidak memberikan insentif khusus di dalam pelaburan automotif turut dikritik oleh banyak pihak, di mana mereka sukar untuk meyakinkan prinsipal untuk melabur di Malaysia tanpa kehadiran insentif tersebut.

Porsche Bakal Bangunkan Kilang Pemasangan Kenderaan Di Kulim Porsche Bakal Bangunkan Kilang Pemasangan Kenderaan Di Kulim Reviewed by admin on 21:27 Rating: 5

No comments

Recent in Recipes

3/Food/post-list