Malaysia Dan Indonesia Rangka Strategi Lindungi Industri Sawit


MALAYSIA sedia berbincang dengan Indonesia untuk merangka strategi terbaik bagi melindungi industri sawit kedua-dua negara dalam masa terdekat, kata Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali.


Beliau berkata, ini selaras gesaan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya kerangka Majlis Negara-Negara Pengeluar Minyak Sawit (CPOPC) diperkasakan untuk melindungi kepentingan bersama negara ahli terutama Malaysia dan Indonesia.

CPOPC ditubuhkan bersama Malaysia dan Indonesia pada 21 November 2015 bagi memperjuangkan isu berkaitan industri sawit.

"Saya berbincang dengan rakan sejawat iaitu Menteri Koordinator Bidang Perekonomian, Airlangga Hartarto untuk merangka strategi terbaik bagi melindungi industri sawit kedua-dua negara dalam masa terdekat," katanya dalam satu kenyataan di sini, kelmarin.

Mohd Khairuddin berkata, Malaysia juga terus bekerjasama dengan Indonesia menentang aspek diskriminasi ke atas minyak sawit sama ada secara dua hala mahupun hubungan pelbagai pihak.

Malah, tegasnya, Malaysia dan Indonesia yang masing-masing negara pengeluar pertama dan kedua terbesar komoditi itu di dunia juga sentiasa berusaha mencari kesepakatan dalam membangunkan serta memelihara industri sawit kedua-dua negara.

Dalam pada itu, beliau berkata, kementerian turut menyambut baik gesaan perdana menteri dalam pertemuan dengan Presiden Joko Widodo di Jakarta pada Jumaat lalu untuk terus mengukuhkan kerjasama kedua-dua negara bagi menentang diskriminasi minyak sawit oleh negara Kesatuan Eropah (EU) dan negara lain.

Menurut Mohd Khairuddin, dua pemimpin terbabit menzahirkan kebimbangan mengenai kempen antiminyak sawit yang tidak berasas, tidak menggambarkan kemapanan industri minyak sawit sebenar serta kelestarian alam sekitar yang tetap dipulihara serta bercanggah dengan prinsip amalan perdagangan bebas digariskan oleh Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO). - Bernama
Malaysia Dan Indonesia Rangka Strategi Lindungi Industri Sawit Malaysia Dan Indonesia Rangka Strategi Lindungi Industri Sawit Reviewed by admin on 20:01 Rating: 5

No comments

Recent in Recipes

3/Food/post-list