Penjagaan SOP Suatu Zikrullah


1) Zikir umpama makanan bagi orang Islam. Cuba kita tidak makan setengah hari, badan boleh merasai tidak bermaya. Contoh paling terdekat ialah tempoh waktu berpuasa bagi rakyat Malaysia bersamaan hampir 12 jam kerana mereka berpuasa hampir setengah hari. Itu pun dah merasai keletihannya. Namun, terdapat kajian daripada Universiti Harvard menjelaskan bahawa berpuasa hampir 12 jam tanpa makan malam dan sarapan boleh mencernakan makanan dengan lebih sempurna.


2) Selain itu, makan pada waktu yang tepat juga memberi kesan positif kepada diet, menurunkan kadar gula dan mengurangkan kolestrol. Sehubungan itu, penjagaan makanan untuk keseimbangan nutrisi badan tidak hanya tertumpu kepada jenis makanan, tetapi juga tertumpu kepada waktu makan yang tepat.

3) Jika zikir boleh dianggap sebagai makanan, maka tumpuan kepada jenis dan waktu berzikir itu juga perlu dipraktikkan dengan betul oleh umat Islam. Tubuh akan lebih bersedia menyerap ruh zikir dengan baik jika tepat jenis dan waktu zikirnya.

4) Ketika COVID-19 sedang merebak dengan pantas, pelbagai amalan zikir disebarkan dalam masyarakat. Secara positifnya, kesan berzikir memberikan keyakinan bahawa Allah SWT sentiasa bersama untuk melindungi kita. Bagi saya, zikir sinonim dengan para asatizah dan agamawan. Namun, di hujung-hujung telinga kita kedengaran juga para asatizah turut dijangkiti wabak COVID-19 ini.

5) Bukan tujuan penulisan ini untuk mencari di mana silapnya. Namun adalah wajar jika boleh diperbetulkan sedikit kefahaman kita mengenai zikir. Paling tidak dengan berzikir mampu mencegah COVID-19 insyaAllah.

6) Zikrullah jika difahami berasaskan tiga ilmu dalam Islam iaitu ilmu tauhid, ilmu syariah dan ilmu tasawuf, maka ia tidak hanya difahami sebagai maksud zikir lidah dan zikir hati sahaja. Malah lebih daripada itu, zikir yang difahami dalam ilmu tauhid ialah mampu mengEsakan Allah SWT walau di mana pun berada. Dalam ilmu syariah pula, seseorang itu dianggap berzikir sekiranya betul mengikut syariah dalam pengamalannya sama ada amalan wajib atau sunat. Bagi ilmu tasawuf pula, zikrullah ialah ketika hati seseorang hamba putus harap dengan makhluk, dan bergantung harap sepenuhnya dengan Allah SWT. Sheikh Abdul Qadir Isa dalam kitabnya Hakikat Tasawuf menyebut hal yang sama dan diperdalamkan pemahamannya bahawa gerak geri hamba tidak upaya melainkan upaya Allah SWT.
7) Zikrullah sebagai penenang hati [“Ketahuilah! Dengan zikrullah itu, tenang tenteramlah hati manusia”. (Surah Al-Ra’du, 13:28)] adalah benar jika zikrullah difahami secara sempurna merangkumi ketiga-tiga ilmu ini. Penerapan zikir dalam kehidupan kita ketika COVID-19 ini sepatutnya difahami dengan penyelarasan pelaksanaan SOP. Ia agak berbeza pelaksanaan zikirnya kerana ia dipraktik dalam lingkungan realiti yang berbeza. Dari sini, ia membuka kefahaman mengenai zikir dalam menjaga SOP. Dalam maksud yang lain, ingat Allah SWT adalah bersamaan dengan menjaga SOP.

8) Rasulullah SAW pernah bersabda seperti berikut:

Sabda Rasulullah s.a.w.:

لَا يُورِدَنَّ مُمْرِضٌ عَلَى مُصِحٍّ

Yang bermaksud: “Yang sakit janganlah mendatangi yang sihat.” (Riwayat Bukhari, No. Hadith: 5771; Riwayat Imam Muslim, No. Hadith: 2221).

9) Nabi SAW pernah didatangi oleh sekumpulan orang dari Bani Thaqif untuk berbai’ah. Salah seorang daripada mereka menghidapi sejenis penyakit berjangkit. Nabi SAW pergi kepadanya tanpa bersentuhan, seraya berkata, “Sesungguhnya kami telah menerima ba’iah kamu, maka pulanglah” (Hadis Riwayat Muslim, No. Hadith: 2231).

10) Berasaskan kedua-dua hadith ini menunjukkan bahawa Rasulullah SAW menjadikan penjagaan diri daripada dijangkiti wabak adalah keutamaan. Penjagaan diri yang dimaksudkan ketika ini lebih diertikan kepada SOP. Justeru difahami bahawa menjaga SOP itu adalah suatu sunnah Rasulullah SAW kerana Baginda sangat menjaga diri daripada dijangkiti penyakit berjangkit.

11) Baginda adalah contoh ikutan terbaik berhubung keyakinan terhadap Allah SWT. Baginda paling tinggi tawakalnya kepada Allah SWT. Walaupun jika dibandingkan dengan para sahabat, nilaian tawakal mereka tidak boleh menandingi nilaian tawakal Baginda SAW. Namun, tetap juga Baginda menjaga SOP. Kenapa? Ia kerana setiap perlakuan dan tindakan Baginda itu juga adalah zikrullah. Di samping berdoa dan berzikir lisan, menjaga SOP saat ini juga adalah zikrullah yang paling utama. Seseorang hamba Allah SWT yang sentiasa ingat Allah SWT akan sentiasa beringat untuk melindungi diri dan orang lain daripada dijangkiti. Manfaatnya ialah memberi kebaikan kesihatan kepada makhluk Allah SWT.

12) Kesihatan yang baik adalah tuntutan agama. Seperti sabda Rasulullah SAW, “Sesungguhnya kamu mempunyai tanggungjawab untuk menunaikan hak terhadap tubuh badan kamu” (Hadis Riwayat Bukhari). Dalam sabda yang lain, “Mintalah kepada Allah kesihatan dan kesejahteraan kerana sesungguhnya tidak ada perkara yang lebih baik dari kesihatan selepas keyakinan (iman)” (Hadis Riwayat Ibnu Majah).

13) Sehubungan itu, setiap yang disarankan dalam Islam menjadi ibadah jika dilaksanakan. Setiap ibadah jika dilaksanakan menjadi zikir. Setiap zikir jika dilaksanakan ia mendekatkan diri dengan Allah SWT. Justeru itu, menjaga kesihatan melalui SOP jika difahami berasaskan tiga ilmu dalam Islam ini, maka ia sepatutnya boleh mendekatkan diri kepada Allah SWT.

14) Selagi kita menjaga SOP selagi itulah kita dalam lingkungan sunnah Rasulullah SAW. Jika tidak melaksanakan SOP, maka seolah-olah kita tidak mengakui keimanan Rasulullah SAW. Sedangkan Baginda lebih dahulu menjaga SOP dalam keadaan hatinya sangat tinggi tawakal kepada Allah SWT. Amalan zikir secara lisan seperti بِسْمِ اللَّهِ الذي لَا يَضُرُّ مع اسْمِهِ شَيْءٌ في الأرض ولا في السَّمَاءِ وهو السَّمِيعُ الْعَلِيمُjika dihubungkan dengan zikir perlindungan secara fizikal, maka dengan gabungan itu zikir yang kita amalkan akan berfungsi dengan baik dan berpijak di bumi syariat yang betul.

15) Saya tidak menolak bahawa amalan zikir lisan yang diamalkan kebanyakkan masyarakat sebagai langkah mencegah COVID-19. Ia diyakini menjadi asbab Allah SWT menjaga kita. Berdasarkan Qada' Mu'allaq, dengan zikir dan doa boleh menukar takdir yang buruk kepada takdir yang baik dengan izin Allah SWT. Walau bagaimanapun, jika difahami dengan lebih mendalam Qada' Mu'allaq ini juga boleh difahami jika SOP dijaga dengan betul, maka kemungkinan besar dapat mengelak dari dijangkiti COVID-19.

16) Jika difahami sungguh-sungguh perkara ini, saya yakin tidak akan berlaku konflik lagi antara masyarakat dengan arahan penjagaan SOP oleh pihak kerajaan. Menjaga SOP sehingga terpaksa bersolat berjemaah di rumah adalah suatu perkara yang dituntut dan merupakan sunnah dan zikir yang terlebih afdhal ketika serangan wabak COVID-19 ini. Ketika kita menjaga SOP, ketika itulah ia menjadi ingatan paling kuat kepada Allah SWT kerana mengikut sunnah Rasulullah SAW.

17) Dengan kefahaman ini akan membentuk kefahaman yang sebenar kepada firman Allah SWT mengenai berzikirlah dalam keadaan berdiri, duduk dan baring seperti firmanNya, “(Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring” (Surah Ali ‘Imran, 3:191).

18) Jadikan kesungguhan zikir lisan terlaksana juga dalam zikir fizikal SOP. Dengan ini, harapannya kita semua terpelihara daripada wabak COVID-19 ini insyaAllah.
------
𝐃𝐫. 𝐌𝐨𝐡𝐝 𝐒𝐲𝐚𝐤𝐢𝐫 𝐌𝐨𝐡𝐝 𝐑𝐨𝐬𝐝𝐢
𝟖.𝟒𝟓A𝐌; 𝟐𝟐.𝟎𝟏.𝟐𝟎𝟐𝟏; 𝐌𝐃𝐍𝐏𝐏; 𝐈𝐒𝐃𝐄𝐕, 𝐔𝐒𝐌; 𝐏𝐮𝐥𝐚𝐮 𝐏𝐢𝐧𝐚𝐧𝐠

Sumber: https://www.facebook.com/mohdsyakir.mohdrosdi/posts/984311231972440
Penjagaan SOP Suatu Zikrullah Penjagaan SOP Suatu Zikrullah Reviewed by admin on 21:23 Rating: 5

No comments

Recent in Recipes

3/Food/post-list