Sultan Johor mahu siasatan dijalankan terhadap wanita kahwin di India





JOHOR BAHRU- Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berduka cita dengan berita yang tersebar di media berkaitan wanita dari negeri itu yang dikatakan melangsungkan pernikahan di India dengan tidak mengikut hukum syarak.

Sultan Ibrahim menerusi muatnaik di Facebook rasmi baginda pada Isnin bertitah, sebagai Ketua Agama Islam Negeri Johor, baginda sentiasa memastikan kehidupan rakyat Johor dan mereka yang berasal dari negeri itu dipayungi oleh peruntukan undang- undang yang mana Islam adalah paksi yang menjadi tiang seri kepada kehidupan.

Titah baginda, memelihara kedudukan agama Islam agar sentiasa terpelihara dan dipandang mulia selari dengan kedudukan agama Islam sebagai agama Negeri Johor dalam Perkara 57 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor 1895 dan Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan adalah keutamaan di negeri Johor.

"Saya berasa dukacita apabila terdapat berita yang bertebaran di media berkaitan seorang wanita bangsa Johor yang dikatakan telah melangsungkan pernikahan yang tidak berdasarkan Hukum Syarak di India.

"Saya telah menitahkan agar semua usaha yang perlu, dibuat oleh Pihak Berkuasa Agama Islam Negeri Johor untuk memastikan keabsahan terkini status wanita tersebut sama ada melalui ahli keluarganya dan juga menerusi Kedutaan kita di India dan saya percaya kita semua akan dapat memastikan kesahihan berita tersebut dalam tempoh terdekat," titah baginda.

Baginda menasihatkan agar semua pihak tidak membuat apa-apa kesimpulan dan tindakan pra matang dalam berita-berita yang disebarkan.

"Wanita itu sedang melalui proses penghakiman melalui platform media sementara dia tidak melakukan mengisytiharkan dia ingin keluar dari agama Islam.

"Jika kita tergesa-gesa dalam tindakan kita menghukum beliau, maka kita akan melihat tembok yang tinggi untuk dia kembali semula ke negara kita dan menjarakkan lagi jurang antara keluarganya di Malaysia dan dia di India.

"Saya juga ingin menitipkan nasihat buat wanita yang berasal dari negeri Johor bahawa dalam membuat keputusan, pastikan tindakan itu direstui oleh ibu bapa anda dan tidak melanggar norma-norma yang ditetapkan agama Islam," katanya.

Baginda berkeyakinan Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) dan Jabatan Mufti Negeri Johor akan memberikan semua pertolongan yang diperlukan kepada wanita berkenaan bagi mengekalkan akidah wanita itu dalam lingkungan syariat Islam.

"Apa jua berita yang kita terima yang berkaitan dengan silaturahim sesama umat Islam perlu diteliti tanpa berprasangka buruk. Kita perlu berlapang dada dan bersangka baik.

"Kita juga perlu dan mengambil tindakan meneliti berita berkenaan dari sumber yang pasti dan tepat," titah baginda.


Sumber: https://www.sinarharian.com.my/article/115701/BERITA/Nasional/Sultan-Johor-mahu-siasatan-dijalankan-ke-atas-wanita-langsungkan-perkahwinan-di-India?ref=rss&format=simple&link=link

Sultan Johor mahu siasatan dijalankan terhadap wanita kahwin di India Sultan Johor mahu siasatan dijalankan terhadap wanita kahwin di India Reviewed by admin on 23:40 Rating: 5

No comments

Recent in Recipes

3/Food/post-list