Jangan biar diri terperangkap dalam pemikiran jumud

                       


KUALA LUMPUR, 15 Dis - Masyarakat perlu membebaskan diri daripada ‘mind-hostage’ atau terperangkap dalam pemikiran jumud kerana terlalu percaya dengan maklumat di media sosial yang belum disahkan kesahihannya.

Gesaan itu disuarakan Ketua Pegawai Kawal Selia Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Zulkarnain Mohd Yasin memandangkan trend netizen kini untuk cenderung mempercayai maklumat di media sosial berbanding kenyataan rasmi yang dikeluarkan pihak bertanggungjawab berhubung sesuatu isu.

“Oleh sebab itu, pengguna perlu menggunakan media sosial secara berhemah bagi mengelakkan diri daripada jumud, menjadi mangsa penipuan dan dikenakan tindakan undang-undang.

“Perkara negatif boleh dielak bergantung kepada sikap, mentaliti dan niat pengguna media sosial. Penyalahgunaan media sosial boleh diatasi sekiranya pengguna sedar tentang peranan masing-masing dan tekad melakukan perubahan,” katanya kepada Bernama.

Zulkarnain berkata demikian selepas menjadi tetamu program Temu Bual Radio di Bernama Radio bertajuk ‘Budayakan Penggunaan Media Sosial Secara Berhemah’ di sini, pada Isnin.


Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan pengguna media sosial agar tidak terlibat dengan provokasi dengan membalas atau meninggalkan komen yang boleh mencetuskan kemarahan dan ketakutan kerana tindakan itu, salah di sisi undang-undang selain boleh mengguris perasaan pengguna lain.

Menurutnya, di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Mutimedia (AKM) 1998, terdapat peruntukan yang memberi kuasa kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap mana-mana pihak yang menyebarkan unsur lucah, sumbang jelik, palsu dan mengancam di media sosial.

“MCMC yang bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana individu yang didapati menyalahguna media sosial sehingga melanggar undang-undang malah menimbulkan kekecohan dan kemudaratan,” katanya.


Beliau turut menjelaskan bahawa peruntukan undang-undang bukan bermaksud untuk menyekat kebebasan bersuara tetapi lebih kepada mendidik masyarakat menggunakan media sosial secara berhemah dengan mengelak daripada memuat naik 'posting’ (kiriman) berbaur negatif serta sensitif.

Mengenai akaun palsu media sosial, Zulkarnain mendedahkan sehingga November lepas, sejumlah 5,329 akaun seumpama itu telah diambil tindakan oleh MCMC, dan 80 peratus daripadanya telah dipadam dengan kerjasama penyedia plaform media sosial, selaras dengan terma dan syarat platform masing-masing.

“MCMC bekerjasama dengan penyedia platform media sosial seperti Facebook, Twitter dan Google untuk menyahaktif akaun palsu. Penyedia platform media sosial menggunakan kaedah teknologi ‘Artificial Intelligence’ (AI) untuk mengenal pasti akaun palsu di laman sosial kendalian mereka,” katanya.

Mengenai penguatkuasaan undang-undang, beliau memaklumkan bahawa MCMC dan PDRM telah membuka 274 kertas siasatan membabitkan berita palsu COVID-19 sehingga 3 Dis lepas.

“Daripada jumlah itu, 137 masih dalam siasatan manakala 35 kes didakwa di mahkamah dan 21 kes didapati bersalah,” katanya.

Zulkarnain berkata tindakan penguatkuasaan diambil di bawah peruntukan Seksyen 233 AKM 1998 atau Seksyen 505 Kanun Keseksaan.

Berkongsi peranan yang dimainkan MCMC, beliau berkata portal sebenarnya.my yang dilancarkan suruhanjaya itu pada Mac 2017 menjadi antara sumber rujukan orang ramai bagi menyemak kesahihan sesuatu berita tular.

Sehingga kini katanya, portal www.sebenarnya.my menerima 220 juta layaran sejak dilancarkan dan secara purata menerima sehingga 4.9 juta 'hits’ setiap bulan.

“Portal itu juga menerima 11,955 penyaluran maklumat daripada orang ramai mengenai berita tidak ditentukan kesahihannya dengan purata 268 saluran maklumat setiap bulan,” katanya.

- BERNAMA






Jangan biar diri terperangkap dalam pemikiran jumud Jangan biar diri terperangkap dalam pemikiran jumud Reviewed by admin on 23:13 Rating: 5

No comments

Recent in Recipes

3/Food/post-list