Ramai bakal jemaah umrah batal tempahan

 


Kuala Lumpur: Syarat baharu yang ditetapkan kerajaan Arab Saudi terhadap jemaah umrah adalah langkah terbaik bagi mengelakkan penularan wabak Covid-19 di negara itu.

Pengerusi Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji Malaysia (Papuh) Datuk Seri Razali Mohd Sham berkata, pihaknya amat menyokong syarat baharu itu, walaupun rakyat Malaysia belum dibenarkan mengerjakan umrah memandangkan pintu sempadan antarabangsa negara masih ditutup.

"Pada saya, had umur 18 hingga 50 tahun yang dikenakan sekarang adalah bersifat sementara mengikut fasa kemasukan jemaah antarabangsa yang ditetapkan Arab Saudi.

"Pelepasan kumpulan jumlah jemaah yang kecil maksimum 50 jemaah adalah tetap. Ini kerana sekiranya seorang daripada jemaah dijangkiti Covid-19, ini memudahkan pihak kesihatan Arab Saudi atau Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengawasi dan merawat jemaah yang jumlahnya kecil," katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Razali berkata, kuarantin wajib yang dikenakan terhadap jemaah umrah adalah satu daripada prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan Arab Saudi bagi semua jemaah antarabangsa.

"Menerusi kuarantin wajib, ia dapat membantu pihak berkuasa kesihatan Arab Saudi mengenal pasti pesakit dalam kalangan jemaah dengan cepat, sekali gus dapat membendung jangkitan dari menular ke kawasan lain," katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Kurma Travel & Tours Sdn Bhd, Dr Fathir Badri Alhadad berkata, pihaknya akur dengan syarat baharu ditetapkan kerajaan Arab Saudi bagi mencegah penularan Covid-19 ketika ibadat umrah.

Namun, katanya, pihak agensi terpaksa menerima impaknya apabila ramai lagi terpaksa menangguhkan umrah yang sebelum ini sudah tertangguh.

"Malah, ramai yang meminta bayaran balik daripada agensi kerana tidak dapat memenuhi syarat Arab Saudi itu.

"Lebih 60 peratus pemohon untuk mengerjakan umrah adalah individu yang berusia 50 tahun ke atas.

"Bagi individu berusia 50 tahun ke bawah pula, anak mereka pula tidak layak kerana berusia bawah 18 tahun. Biasanya mereka ingin menunaikan umrah sekeluarga. Anak yang masih sekolah rendah dan menengah juga tak boleh pergi umrah," katanya.

Disebabkan itu, katanya, sejak laporan syarat baharu itu tersebar, ramai yang menelefon agensi meminta bayaran balik (refund).

Sebelum ini, katanya, ramai yang mengambil keputusan menangguhkan, namun ketidakpastian sehingga bila syarat baharu umrah ini dikuatkuasakan Arab Saudi menyebabkan mereka membatalkan tempahan.

Arab News melaporkan selepas tujuh bulan ibadat umrah ditangguhkan akibat pandemik Covid-19, kira-kira 10,000 jemaah antarabangsa tiba di Arab Saudi hari ini sebagai kumpulan pertama dibenarkan melaksanakan ibadat berkenaan.

Timbalan Menteri Haji dan Umrah, Dr Amr Al-Maddah dipetik berkata, 10,000 jemaah yang tiba dari luar negara itu mesti mendapatkan kebenaran terlebih dulu.

Setibanya di sana, jemaah mesti mengasingkan diri selama tiga hari sebelum dibawa ke laman Miqat, sempadan kawasan di mana jemaah yang ingin menunaikan umrah diwajibkan memakai ihram.

Mereka hanya dibenarkan berada di sana sehingga 10 hari, termasuk tiga hari dalam pengasingan.

Seiring protokol, 500 kumpulan, masing-masing dengan 20 jemaah antarabangsa, bergerak sepanjang hari mengikut tempoh yang diperuntukkan.

Had umur maksimum yang ditetapkan bagi jemaah antarabangsa adalah antara 18 hingga 50 tahun.


SUMBER: METRO


Ramai bakal jemaah umrah batal tempahan Ramai bakal jemaah umrah batal tempahan Reviewed by admin on 18:25 Rating: 5

No comments

Recent in Recipes

3/Food/post-list