Benarkah PAS Berpuashati Dengan Penyelewengan 1MDB?

INI KISAH SEBENAR BERITA KONON PAS BERPUAS HATI DENGAN PENYELEWENGAN 1MDB

Antara pengajaran utama (lessons learnt) PRU14 ialah PAS gagal menjawab fitnah dan akhirnya fitnah terus berleluasa dan malangnya dianggap benar.

Salah satu persepsi yang dibina terhadap PAS ialah kononnya PAS berpuas hati dengan penyelewengan 1MDB. Hakikatnya bukan begitu. Bahkan Timbalan Presiden PAS, sudah banyak kali memberi penjelasan akan hal ini sejak ia ditimbulkan pada Ogos 2017.

Malangnya ia terus dijaja sebelum PRU14 bahkan masih lagi sehingga kini (termasuk disinikalkan oleh seorang Mufti) untuk membina persepsi buruk terhadap PAS.

Boleh rujuk video penjelasan oleh Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man yang disertakan berkenaan berita yang sengaja disensasikan sebelum bahkan pasca PRU14 ini. Apa yang PAS sebut puas hati ialah penjelasan Arul Kanda dalam membayar balik hutang 1MDB, bukan berpuas hati dengan penyelewengan!

... apa yang PAS sebut puas hati ialah penjelasan Arul Kanda dalam membayar balik hutang 1MDB, bukan berpuas hati dengan penyelewengan! ...
Malah Kenyataan-Kenyataan PAS sejak isu 1MDB ini timbul jelas, tetap dan konsisten bahawa satu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) perlu ditubuhkan bagi menyiasat isu 1MDB.

Berita “1MDB: PAS Puas Hati” ini dijadikan berita muka depan oleh Sinar Harian dalam akhbarnya pada 8 Ogos 2017. Dalam masa yang sama, Sinar Harian turut ‬membuat 2 petikan kata-kata berikut:

1. PAS terima penjelasan Presiden 1MDB, Arul Kanda Kandasamy pada Sidang Meja Bulat mengenai pelan rasionalisasi atasi kemelut syarikat pelaburan strategik negara itu.

2. Apabila aset itu diambil alih oleh kementerian, kita bimbang ia akan cetuskan masalah baru jika tak dikawal. Kita harap isu sebegini mesti dipantau terus melalui Parlimen.

Langsung tidak ada sepertimana ditulis oleh Mufti bahawa PAS “berpuashati dengan penyalahgunaan harta awam tersebut”. Bahkan jika mengikuti Sidang Media tersebut secara penuh, kenyataan berniat jahat Lim Guan Eng pada masa tersebut “PAS ibarat Burung Belatuk, berpuashati dengan penjelasan 1MDB” sewajarnya tidak timbul!

Malangnya ramai rakyat Malaysia yang hanya membaca tajuk tanpa meneliti isi penuh yang hendak disampaikan. Sewajarnya kita semua lebih tabayyun dalam hal ini.

... ramai rakyat Malaysia yang hanya membaca tajuk tanpa meneliti isi penuh yang hendak disampaikan ...
Berita penuh boleh dibaca di sini, bacalah dengan mata hati dan secara adil lagi saksama:

“KUALA LUMPUR, 7 Ogos 2017 - PAS berpuas hati dengan hasil sesi meja bulat bagi membincangkan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB), hari ini.

Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, pihaknya menerima penjelasan oleh Presiden dan Pengarah Eksekutif 1MDB, Arul Kanda Kandasamy mengenai pelan rasionalisasi yang dicadangkan beliau bagi mengatasi kemelut 1MDB.

Bagaimanapun katanya, PAS melihat ada keperluan untuk parlimen memantau aset 1MDB yang diambil alih Kementerian Kewangan.

"Apabila aset itu diambil kementerian, kita bimbang ia akan cetuskan masalah baharu jika tak dikawal. Kita harap isu sebegini mesti dipantau terus melalui parlimen.

"Kementerian Kewangan dan menterinya perlu laporkan pada parlimen supaya ahli-ahli parlimen dapat ikut setiap perkembangan," katanya kepada pemberita pada sidang media selepas sesi meja bulat PAS mengenai isu 1MDB, di sini, hari ini.

Selain Arul Kanda, meja bulat itu turut dihadiri Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Tan Sri Khalid Ibrahim dan beberapa wakil dari universiti tempatan.

Tuan Ibrahim berkata, 1MDB juga perlu diberi peluang untuk selesaikan semua hutang yang ditanggung.

"Kelewatan menjelaskan hutang menyebabkan kadar faedah terus bertambah. Untuk faedah sahaja telah mencecah US$1.9 bilion setahun.

"Bagi kita, pelan rasionalisasi 1MDB berada di landasan betul. Kita harap tiada campur tangan politik yang mengganggu pelan dikemukakan Arul itu," katanya.

Dalam pada itu, katanya, PAS tetap dengan cadangannya sebelum ini agar satu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan bagi menyiasat isu 1MDB.

"Dengan penuh rasa hormat kepada semua agensi penguatkuasaan di negara ini iaitu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Bank Negara, Jabatan Peguam Negara dan Jabatan Audit Negara, kita lihat RCI perlu ditubuhkan juga.

"Ia sebagai jalan keluar kemelut 1MDB di mana kerajaan perlu ambil tindakan terhadap mereka yang terlibat. Dalam masa sama negara tidak terbeban dengan hutang yang dibuat oleh 1MDB," katanya.”

Jemput juga baca maklumat lanjut berikut berkenaan Isu 1MDB - Cerita Sebenar Dari Tuan Ibrahim Tuan Man.

i. Transkrip Sidang Media

Transkrip Sidang Media Timbalan Presiden PAS, Dato' Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man di De Palma Hotel Ampang, 7 Ogos 2017 jam 1.15 petang.

“PAS telah mengadakan sidang meja bulat bersama dengan pihak pengurusan 1MDB, yang diketuai oleh Presiden 1MDB, Sdr Arul Kanda. Secara keseluruhannya pembentangan mengambil masa 3 jam setengah dan dihadiri hampir 30 org jawatankuasa drpd PAS Pusat dan tokoh-tokoh yang kita undang pada hari ini.

Secara keseluruhannya bagi pihak kami, kita berpuas hati dengan penjelasan yang telah diberi oleh Sdr Arul khususnya pelan rasionalisasi yg telah dicadangkan oleh beliau bagi mengatasi kemelut yg dihadapi dalam 1MDB.

Isu yang berlaku hari ini, Kementerian Kewangan telah pun mengambil alih aset yang ada pada 1MDB. Jadi hasil dari perbincangan tersebut didapati, bila aset diserah kpd MOF Incorporated, maka kita perlu untuk monitoring terhadap isu-isu yang melibatkan aset tersebut. Sebab bila aset diambil oleh pihak Kementerian, kita bimbang ia akan mencetuskan masalah baru jika tidak dikawal, dan kita harapkan bahawa isu-isu ini mesti dipantau direct di bawah Parlimen.

Maknanya pihak Kementerian Kewangan/ Menteri perlu melaporkan kepada Parlimen supaya Ahli-Ahli Parlimen kita dapat mengikuti setiap perkembangan supaya tidak timbul masalah baru.

Hasil perbincangan ini juga kita mencadangkan PAS mencadangkan supaya RCI/ Suruhanjaya Siasatan Diraja diwujudkan bagi menyiasat perkara-perkara yang berlaku yang membawa kemelut dalam isu 1MDB, khususnya sebelum Sdr Arul diterima masuk dan dibuat pelan rasionalisasi tersebut.

Jadi cadangan ini sebenarnya telahpun dibawa oleh Dato’ Seri Tuan Guru Presiden pada 13 Oktober 2015, antara yang paling awal mencetuskan idea supaya RCI diwujudkan dalam isu 1MDB.

Di waktu yg sama kita harapkan supaya 1MDB perlu diberi peluang untuk menyelesaikan segala hutang yang ditanggung oleh 1MDB, kerana kelewatan menjelaskan hutang ini menyebabkan kos faedah/interest yang dikenakan adalah sangat besar, setahun sebanyak 1.9 billion USD, interest sahaja.

Jadi kalau kelewatan menjelaskan hutang ini menyebabkan kadar interest bertambah. Dan bagi kita, tindakan pelan rasionalisasi yang dibuat oleh 1MDB ini berada di atas landasan yang betul setakat ini. Dan kita harap tidak banyak campurtangan politik yang mengganggu pelan yang telah pun dikemukakan oleh beliau.

Jadi secara keseluruhannya perbincangan sangat menarik dan terbuka. Beliau juga mengemukakan beberapa dokumen khususnya hasil perbincangan dengan PAC dan dokumen-dokumen tersebut ialah dokumen yg boleh kita akses dan download dari media sosial.

Walaubagaimanapun kepada kami, PAC tidak boleh menyelesaikan masalah, sebab ia hanya satu badan yang dianggotai oleh lapan ahli parlimen BN dan lima daripada pembangkang, dan hanya bidang kuasa menyiasat tetapi tindakannya nampak masih belum ada.

Dengan penuh hormat kepada agensi penguatkuasa yang ada di Malaysia, SPRM, Polis, Jabatan Peguam Negara, Bank Negara, Audit Negara, dengan penuh penghormatan pada agensi-agensi ini, kita lihat bahawa perlunya RCI ditubuhkan.

Dan bagi kami, RCI ialah jalan keluar dan kalau ada yang terlibat, kita harap ambil tindakan. Pihak kerajaan perlu ambil tindakan. Dan insya Allah mudah-mudahan dengan penubuhan ini, isu ini ada jalan keluar dalam konteks penglibatan individu-individu tertentu, tokoh-tokoh tertentu. Di waktu yg sama negara tidak terbeban dengan bebanan hutang yang dibuat oleh 1MDB.

So itu penjelasan yang saya nak buat pada hari ini.”

ii. Kenyataan media susulan isu 1MDB.

1MDB - Nasi yang sudah menjadi bubur

“Masalah 1MDB hari ini, jikalaupun adanya kerajaan baru selepas PRU14 dan semua yang terlibat menyeleweng berjaya ditangkap dan disumbat di dalam penjara, hutang 1MDB masih perlu ditanggung rakyat dan kerajaan yang baru kerana hutangnya dijamin kerajaan telah diluluskan oleh mereka yang berkuasa hari ini.

Itulah realiti yang menyayatkan dan itu kesan sebenarnya skandal 1MDB terhadap rakyat dan negara. Tidak dapat dinafikan lagi bahawa 1MDB adalah satu bala terhadap negara.

Di dalam taklimat 1MDB oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya Arul Kanda Kandasamy kepada pimpinan tertinggi PAS, beliau menegaskan pelan rasionalisasi 1MDB adalah apa yang boleh beliau buat sekadar mampu untuk memastikan 1MDB tidak lagi perlu meminta suntikan dana daripada kerajaan.

Jika pelan rasionalisasi 1MDB gagal dan sekiranya 1MDB lewat membayar hutang, ini menyebabkan kos faedah bertambah melebihi ASD$1.9 bilion setahun yang perlu ditanggung kerajaan, samada kerajaan bertukar tangan ataupun tidak di PRU14.
Kelewatan menjelaskan hutang ini menyebabkan kadar interest bertambah, di mana ia akan memeritkan rakyat dan kerajaan akan datang, suka mahupun duka.

Yang menanggung akibat ini ialah kerajaan dan rakyat, bukan mereka yang terlibat menyeleweng 1MDB yang masih berkuasa. Hatta harta mereka yang terlibat dirampas pun, ia tidak mampu untuk membayar hutang 1MDB.

Disebabkan itu, PAS mengharapkan supaya 1MDB perlu diberi peluang untuk menyelesaikan segala hutang yang ditanggung oleh 1MDB dan pada masa yang sama kita berusaha menumbangkan BN agar mereka yang meninggalkan hutang 1MDB untuk ditanggung rakyat dan kerajaan dapat dibawa ke muka pengadilan.

Disebabkan PAS meragui kemampuan kerajaan dalam mengendalikan aset-aset negara dan memandangkan Kementerian Kewangan telah pun mengambil alih aset yang ada pada 1MDB dan diserahkan kepada MOF Incorporated, maka PAS berpendirian bahawa Menteri Kewangan perlu melaporkan kepada Parlimen dari semasa ke semasa.

Ini bertujuan supaya ahli-ahli Parlimen dapat mengetahui dan memantau perkembangan aset-aset tersebut dan mengelakkan tidak timbul masalah baru jika tidak dikawal.

Kedua, PAS terus menggesa agar Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) diwujudkan bagi menyiasat perkara yang mencetus kemelut dalam isu 1MDB.

Selepas pertemuan dengan Arul, pendirian PAS tidak pernah tidak ubah dalam isu 1MDB. Malah orang pertama yang menyarankan RCI terhadap 1MDB ialah Presiden PAS sendiri pada 2015.

Arul bersedia berjumpa dengan PAS barangkali mungkin kerana PAS mengamalkan budaya politik matang dan sejahtera dan bukannya politik “fitnah dulu, bayar kemudian.” Ini bezanya PAS dengan parti-parti politik pembangkang yang lain. Memang ada beza antara yang mencari solusi dengan yang mencari publisiti.”

Sumber:
https://www.facebook.com/100009760117468/posts/659541397714525/
Benarkah PAS Berpuashati Dengan Penyelewengan 1MDB? Benarkah PAS Berpuashati Dengan Penyelewengan 1MDB? Reviewed by admin on 02:56 Rating: 5

No comments

Recent in Recipes

3/Food/post-list